BURDOH ialah bait-bait syair indah yang memuji Rasulullah SAW dan perjuangan Baginda, keluarga dan para sahabat. Ia adalah terjemahan perasaan cinta dan kasih sayang yang mendalam terhadap Rasulullah SAW.
Menurut sejarah, ianya dikarang oleh Imam al-Bushiri atau nama penuhnya Muhammad bin Said bin Hamad bin As-Shonhaji al-Bushiri. Lahir di Bahtim, Mesir pada 608H (1212M) dan meninggal di Iskandariyah, Mesir pada 696H (1296M).
Beliau digelar “Sayyidul Muddah” ertinya Penghulu para pemuji Rasulullah SAW. Bait-bait Burdoh yang dikarangnya (sebanyak 161 bait) begitu indah dan menggunakan gaya bahasa yang menarik, mampu menyentuh jiwa dan mengalirkan air mata orang yang membacanya. Lebih utama, kecintaan kepada Rasulullah SAW semakin mendalam, seiring dengan semangat untuk mengikut sunnah dan perjuangan Baginda SAW.
Semuanya bermula apabila Imam al-Bushiri ditimpa penyakit lumpuh sebelah badan. Berbagai cara rawatan diusahakan namun penyakit lumpuhnya tidak juga sembuh. Para doktor yang merawatnya pun telah berputus asa untuk mengubatinya.
Maka dalam keadaan keuzuran itu, datanglah ilham dalam hatinya untuk mengarang sebuah qasidah puji-pujian terhadap Rasulullah SAW. Rupanya badan yang lemah longlai itu masih lagi memiliki hati yang sangat cergas dan ingatan yang sangat tajam dan keazaman yang kuat.
Maka dengan hati yang dipenuhi kasih sayang dan kecintaan kepada Baginda SAW, al-Imam melakarkan satu demi satu qasidahnya. Satu bait demi satu bait, satu rangkap demi satu rangkap sehingga qasidah diselesaikan dengan jumlah 161 bait. Beliau berharap dengan berkat memuji Baginda, penyakitnya akan disembuhkan Allah SWT.
Diriwayatkan selepas selesai menulis, beliau tertidur dan bermimpi berjumpa Rasulullah SAW. Baginda datang menziarahi beliau yang sedang sakit, lalu Baginda menyapu tangannya yang mulia itu di atas badan Imam al-Bushiri dan menyelimutkannya dengan sehelai selendang (burdoh).
Sebaik terjaga, didapati penyakit lumpuhnya sembuh. Badan beliau seolah-olah tidak pernah ditimpa penyakit lumpuh. Maka bersabit dengan peristiwa ini beliau menamakan qasidah dikarangnya “Burdoh”. Ada juga riwayat lain yang menyebutkan bahawa Imam al-Bushiri mendapati “Burdoh” atau selendang tersebut ada di atas badannya apabila beliau terjaga dari tidurnya.
Amalan ini masyhur suatu ketika dulu namun kini ia makin dilupakan. Ada pula sesetengah pihak menganggapnya bida’ah sedangkan ianya satu amalan mulia berdasarkan nas-nas yang sahih.
Para ulama sepakat bahawa puji-pujian ke atas Rasulullah SAW adalah amalan terpuji, asalkan ia tidak melampaui batas seperti orang Kristian memuji Nabi Isa a.s sehingga menyatakannya sebagai Tuhan.
Allah SWT juga telah memuji Baginda, firman-Nya: “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) berada di atas akhlak yang sangat agung.” (al-Qalam: 4)
Maka Burdoh adalah satu kaedah memuji Rasulullah SAW bagi menanam kecintaan dan semangat untuk mencontohi Baginda dalam semua aspek kehidupan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan